Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Murid digalakkan menguasai lebih daripada satu bahasa sebagai persediaan untuk mereka berdepan dengan dunia yang penuh persaingan pada masa kini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin. Foto: BERNAMA

Hampir keseluruhan hadir ke sekolah tanpa penggiliran mulai 21 Mac – Radzi

KUALA LUMPUR, 5 Mac : Pengoperasian sekolah penggal satu bagi sesi akademik 2022/2023 yang akan bermula pada 21 Mac ini adalah lebih terbuka dengan hampir keseluruhan murid akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin. 

Beliau menerusi satu video yang dikongsi di akaun Facebook hari ini berkata namun begitu Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau keadaan semasa untuk memastikan dan menetapkan bila tarikh bagi murid yang hadir ke sekolah secara penggiliran dapat hadir ke sekolah secara tanpa penggiliran. 

“Apabila sekolah dibuka kelak kami di KPM berharap ibu bapa, murid, guru dan warga pendidikan dapat bersama memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi dengan baik supaya sesi persekolahan berlangsung dengan selamat dan teratur,” katanya. 

Beliau berkata sekiranya ibu bapa atau penjaga memilih untuk tidak menghantar anak masing-masing ke sekolah apabila sekolah dibuka pada 21 Mac,  ketidakhadiran itu tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin tetapi ketidakhadiran murid perlu dimaklumkan kepada pihak sekolah untuk tujuan rekod.

Mengulas pengoperasian sekolah rendah apabila penggal persekolahan dibuka pada 21 Mac, Radzi berkata bagi sekolah rendah dengan enrolmen murid kurang daripada 600 orang, semua murid sekolah rendah harian dan sekolah rendah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa akan hadir tanpa penggiliran.

“Sekolah rendah swasta termasuk sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa dengan enrolmen melebihi 600 murid boleh mengemukakan permohonan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya,” katanya. 

Radzi berkata bagi sekolah rendah dengan enrolmen murid melebihi 600 orang, murid yang akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran ialah murid berkeperluan khas (MBK), Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), murid prasekolah, murid Tahun Satu, Dua dan Enam serta semua murid penerima Rancangan Makanan Tambahan. 

“Bagi Tahun Tiga, Empat dan Lima, murid ini akan hadir secara penggiliran. Ketetapan ini turut terpakai untuk sekolah swasta, sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang setara,” katanya.

Beliau berkata ujian saringan kendiri COVID-19 yang perlu dijalani 10 peratus murid sekolah rendah dilaksanakan pada penggal persekolahan sebelum ini dikekalkan apabila sesi dibuka pada 21 Mac ini dan KPM akan membekalkan test kit kepada murid untuk ujian di rumah dan laporkan keputusan ujian kepada sekolah. 

Menurut Radzi mulai 21 Mac apabila semester atau penggal persekolahan baharu bermula, pelajar di sekolah menengah akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk tempoh dua minggu dari 21 Mac hingga 4 April seterusnya hadir ke sekolah secara bersemuka bermula 4 April kecuali sekolah berasrama penuh. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan