KOTA KINABALU, 5 Mac : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 19 kontraktor bagi membantu siasatan kes memalsukan penyata bank bernilai RM49 juta yang ‘dihantar’ kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi berkata, kesemua suspek yang berusia antara 24 hingga 53 tahun ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Sabah kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Katanya, penyata bank palsu berkenaan dikemukakan sebagai dorongan untuk memasuki tender beberapa buah sekolah di seluruh Sabah.
“Kesemua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan sembilan wanita akan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu dalam masa terdekat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan,” katanya.
Karunanithy memberitahu, siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan oleh kesemua suspek adalah sama dengan kes-kes sebelum ini.
Menurutnya, pihaknya pernah menahan 39 kontraktor pada 2020 yang dipercayai cuba memalsukan penyata bank bernilai lebih RM80 juta.
“Susulan daripada tangkapan tersebut, sebanyak 132 pertuduhan telah berjaya dilaksanakan di Mahkamah Khas Rasuah di Sabah tahun lalu,” katanya. -TVS