GEDONG, 5 Mac: Hasrat Sarawak untuk menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 turut bergantung kepada sumbangan ‘modal insan’ berkualiti di kalangan belia di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menerusi gaya hidup sihat yang diamalkan golongan itu, ia secara tidak langsung boleh menyumbang kepada pertumbuhah ekonomi.
“Sehubungan itu, saya menyeru supaya anak muda Sarawak untuk terus bergiat aktif dan membudayakan gaya hidup sihat.
Ini kerana sekiranya kita mahu membangunkan negeri, minda dan tubuh badan perlu sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sarawak X-Tive 2022 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sarawak X-Tive merupakan inisiatif dilancarkan oleh Kementerian Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang menyasarkan peningkatan kualiti kesejahteraan hidup selari dengan dengan visinya iaitu Sukan Untuk Semua Menjelang 2030.
Pelaksanaan program merangkumi empat domain iaitu sukan kecergasan, sukan rekreasi, sukan ekstream dan sukan tradisi.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, ketika ini penglibatan belia dalam bidang sukan di Sarawak masih rendah.
Katanya, berdasarkan tinjauan, hanya 44.9 peratus sahaja yang terlibat dan ‘pencapaian’ itu tidak sampai separuh daripada sasaran.
“Ini bermakna, rakyat pada setiap lapisan umur di Sarawak perlu dibawa untuk bersukan,” katanya.
Jelasnya lagi dengan adanya Sarawak X-Tive, ia dapat menjadikan sukan sebagai budaya hidup sihat. – TVS