KUALA LUMPUR, 5 Mac: Aksi sulung Liga Super 2022 membabitkan perlawanan ‘Derby Lembah Klang’, Kuala Lumpur City FC dengan Selangor FC malam tadi yang berlangsung sengit turut ‘panas’ di luar stadium.
Ini berikutan tercetusnya pergaduhan melibatkan penyokong Kuala Lumpur City FC dan Selangor FC di luar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sejurus perlawanan berakhir.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Izham Jaafar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 pagi tadi, sepasukan anggotanya yang sedang bertugas mengesan berlaku pergaduhan beberapa orang penyokong kedua-dua pasukan.
Katanya, polis bertindak meleraikan kekecohan dengan mengarahkan kesemua suspek untuk beredar.
“Bagaimanapun dua lelaki tidak mengendahkan arahan dan polis telah menangkap kedua-dua suspek kerana menghalang penjawat awam bertugas,” katanya menerusi kenyaaan media di sini hari ini.
Menerusi video yang tular di sosial media, kedua-dua kumpulan dilihat bertengkar dan menyerang satu sama lain sebelum dileraikan oleh pihak polis.
Muhammad Izham berkata, kedua-dua suspek yang ditangkap berumur 22 tahun dan 23 tahun dan dibawa ke lokap Balai Polis Salak Selatan.
“Mahkamah membenarkan permohonan reman selama tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tiga hari,” katanya.
Aksi dalam stadium sebelum itu menyaksikan kedua – dua pasukan berkongsi mata selepas terikat 3-3. – TVS