Kredit gambar 247newsupdate.com
MOSCOW, 5 Mac: Badan pemantau komunikasi Rusia pada Jumaat mengumumkan ia menyekat akses kepada Facebook sebagai reaksi kepada sekatan yang dikenakan syarikat rangkaian sosial itu ke atas beberapa saluran media Rusia, lapor Agensi Anadolu (AA).
Dalam satu kenyataan di laman webnya, Pemantau Komunikasi, Teknologi Maklumat dan Media Massa Perkhidmatan Persekutuan Rusia, Roskomnadzor berkata Facebook telah 26 kali mendiskriminasi media Rusia sejak Oktober 2020.
Kebelakangan ini, Facebook mengehadkan akses kepada laman web dua saluran TV Rusia, dua agensi berita utama dan dua saluran media.
Sekatan yang dikenakan oleh Facebook adalah dilarang oleh undang-undang persekutuan Rusia, dan ia melanggar prinsip kebebasan penyebaran maklumat dan akses percuma pengguna Rusia kepada media Rusia di platform internet asing, kata Roskomnadzor.
Beberapa negara Barat baru-baru ini menutup syarikat media antarabangsa Rusia, Russia Today dan agensi berita Sputnik sebagai sebahagian daripada pakej sekatan yang dikenakan ke atas negara itu di tengah-tengah perang Rusia-Ukraine yang bermula pada 24 Feb.
Serangan Rusia ke atas Ukraine mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, United Kingdom, dan Amerika Syarikat melaksanakan pelbagai sekatan ekonomi ke atas Rusia. – TVS