KUALA BERANG, 5 Mac: Banjir luar biasa yang melanda Hulu Terengganu bukan sahaja memusnahkan kediaman penduduk, malah turut menenggelamkan Repositori Kelulut Indo-Malaya Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang terletak di Taman Pertanian Negeri Sekayu.
Repositori itu ialah pusat pengumpulan dan penyimpanan 24 spesies kelulut Indo-Malaya yang terbesar di dunia, dikumpul Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut UMT (SIG) dari segenap pelusuk negeri sejak berpuluh tahun lalu.
Ketua SIG, Prof Dr Shamsul Bahri Abd Razak berkata repositori tersebut menempatkan pelbagai spesies kelulut yang menarik dan jarang ditemui seperti Tetragonula repeeni, Tetragonula minangkabau, Tetragonula melina, Lophotrigona canifrons dan Patriotrogona pandelburyi.
Justeru ia menjadi tumpuan pengkaji dan penyelidik dari dalam dan luar negara yang berminat untuk membuat penelitian serta pengumpulan data berkaitan spesies serangga berkenaan.
“Ia juga satu kerugian kepada sektor ekopelancongan negeri kerana repositori yang dibangunkan bersama Jabatan Pertanian Negeri Terengganu ini ialah satu-satunya tempat yang memiliki koleksi terbesar spesies kelulut Indo-Malaya di dunia,” katanya. – TVS