Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Petronas untung bersih RM48.6 bilion pada 2021

ByBernama

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kembali mencatat keuntungan dengan keuntungan bersih sebanyak RM48.6 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021 (tahun kewangan 2021) berbanding kerugian bersih sebanyak RM21.0 bilion pada tahun sebelumnya. 

Menurut syarikat minyak nasional itu, pendapatan lebih tinggi dicatatkan pada tahun tersebut berikutan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih baik serta kerugian susut nilai yang rendah pada tahun kewangan 2021 susulan harga minyak pada aliran meningkat tetapi sebahagiannya diimbangi oleh cukai yang lebih tinggi. 

Petronas mencatatkan perolehan sebanyak RM248.0 bilion pada tahun kewangan 2021 berbanding RM178.74 bilion pada tahun sebelumnya terutamanya berikutan impak harga yang menggalakkan untuk produk utama sejajar dengan purata harga realisasi yang lebih tinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata Petronas kekal berdaya tahan selepas dua tahun menghadapi gangguan melampau terhadap ekosistem tenaga, menempatkan kumpulan pada kedudukan lebih baik untuk memanfaatkan pemulihan pasaran.

“Dengan pelancaran entiti baharu kami pada pertengahan 2022 dan penubuhan Unit Pengurusan Karbon kami, Petronas dijangka akan berkembang menjadi superstore tenaga yang akan menyediakan pelanggan dengan rangkaian tenaga dan penyelesaian yang menggerakkan perniagaan dan memacu kemajuan melalui kaedah yang adil dan mampan,” katanya pada sidang media untuk mengumumkan keputusan kewangan suku keempat dan tahun kewangan 2021 Petronas di sini semalam.

Pada tahun kewangan 2021, Petronas berkata EBITDA meningkat kepada RM100.5 bilion, terutamanya berikutan perolehan yang lebih tinggi, tetapi sebahagiannya diimbangi oleh kenaikan kos produk.

Sehubungan itu, aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) meningkat kepada RM78.6 bilion. 

Jumlah aset naik kepada RM635.0 bilion sehingga 31 Dis 2021 berbanding RM574.1 bilion pada tahun sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh pelaburan tunai dan dana yang lebih tinggi serta belum terima yang tinggi.  – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan