KUCHING, 27 Feb: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) akan melakukan bedah siasat terhadap bangkai ‘buaya gergasi’ yang ditemui terapung berhampiran Jambatan Satok, tengah hari tadi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zolkipli Mohamad Aton berkata, prosedur berkenaan dijangka akan merungkai punca sebenar kematian haiwan berkenaan yang dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1988.
“Setelah mendapat keputusan bedah siasat, SFC akan berkongsi perkembangan dengan orang ramai.
Ketika ini SFC tidak mengesyaki sebarang unsur meragukan berikutan penemuan bangkai buaya yang mencecah berat 300 kilogram oleh orang awam,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Penemuan bangkai buaya sepanjang hampir 15 kaki itu turut tular menerusi media sosial. – TVS