TATAU, 27 Feb: Op Laras yang dilancarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau berjaya memberkas dua pekerja ladang yang memiliki senjata api buatan sendiri dan peluru hidup.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Jame Reis berkata, kedua – dua lelaki tempatan yang masing – masing berusia 27 dan 36 tahun itu turut dikesan terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Katanya, dalam operasi pada pukul 4 petang semalam di hadapan sebuah kedai makan di Pasar Baru, anggotanya memeriksa dua lelaki berkenaan yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.
” Pemeriksaan yang dilakukan terhadap kereta jenis Toyota Hilux yang digunakan oleh kedua-dua suspek menjumpai satu tiub berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dengan berat kasar 0.17 gram di kerusi pemandu.
Turut ditemui peralatan yang dibuat sendiri untuk menghisap syabu dan sebutir peluru senapang patah,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Katanya, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Tatau untuk disoal siasat.
“Ketika soal siasat, mereka mengaku memiliki dua laras senapang patah buatan sendiri yang digunakan untuk tujuan memburu haiwan.
“Setelah suspek memberitahu lokasi dua laras senapang patah itu disembunyikan, polis menemui lima butir lagi peluru hidup di rumah pekerja ladang di Jalan Tatau-Sibu,” katanya.
Jame berkata, kedua-dua suspek ditahan dan akan direman di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 (a)Â Akta Senjata Api 1960. – TVS