KUCHING, 26 Feb : Perdana Menteri menyuarakan keyakinan perlaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dengan Brunei dijangka akan memulihkan industri pelancongan di Sarawak.
Ujar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Brunei secara dasar juga telah bersetuju dengan cadangan pelaksanaan VTL ini hasil perbincangan beliau dengan Sultan Brunei , Sultan Hassanal Bolkiah semasa kunjungan ke negara berkenaan baru – baru ini.
” Langkah ini bukan sahaja mampu memulihkan industri pelancongan Sarawak tetapi merancakkan kembali ekonomi khususnya di bahagian Miri, Limbang dan Lawas yang terletak bersempadan dengan Brunei,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Sungai Sarawak di sini malam ini.
Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud , Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri serta barisan pentadbiran Kerajaan Sarawak.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pemilihan Sarawak sebagai lokasi Citrawarna Keluarga Malaysia yang bertemakan Temasya Kepelbagaian Budaya amat bertepatan dengan ciri unik yang dimiliki Sarawak.
” Di Sarawak sahaja contohnya terdapat 28 etnik yang mencorak keunikan budaya yang menjadi kebanggaan bukan sahaja rakyat di Bumi Kenyalang tetapi seluruh Keluarga Malaysia amnya,” katanya.
Kata Perdana Menteri, pemilihan Kuching sebagai lokasi sambutan Citrawarna juga amat bersesuaian memandangkan Bandar Raya Kuching telah mendapat pelbagai pengiktirafan penting di peringkat antarabangsa.
” Antaranya sebagai Bandar Raya Kreatif oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori gastronomi dan ASEAN pada November 2021 dan Bandaraya Kraf Dunia (World Craft City) oleh Majlis Kraf Dunia Asia Pasifik pada 2018,” katanya.
Beliau berkata, susulan kejayaan menjadi Creative City of Gastronomy , ia juga mampu untuk merancakkan ekonomi dan industri pelancongan dan kebudayaan khususnya di Sarawak. -TVS