KUCHING, 26 Feb : Penganjuran Festival Gendang Sarawak 2021 sempena Program Citrawarna Keluarga Malaysia bertujuan untuk menonjolkan gabungan pelbagai etnik dan kaum di negara ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, penganjuran festival selama tiga hari yang bermula 24 Februari lalu juga diharap dapat memupuk nilai murni di kalangan Keluarga Malaysia termasuk membantu mereka yang memerlukan.
Katanya, menerusi program berkenaan, ia dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hilang punca pendapatan semasa tempoh pandemik COVID-19.
” Perlaksanaan program ini berkonsepkan pencungkilan bakat dan pesembahan meliputi Pertandingan Gendang Melayu Sarawak, Pertandingan Lagu Gendang Melayu Sarawak dan Pertandingan Tatarias Gendang Melayu Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan festival berkenaan di Waterfront Kuching di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sempena pelancaran berkenaan, Nancy dan Abdul Karim turut menunjukkan kebolehan mereka bermain gendang tradisi dan mempersembahan tarian bertandak.
Perasmian Citrawarna Keluarga Malaysia malam ini dijangka akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta akan disiarkan secara langsung menerusi TVS. – TVS