Foto dari freeworldmaps.net
KUCHING, 25 Feb : Gempa bumi berukuran 6.1 skala ritcher yang menggegarkan Pekan Baru, Indonesia hari ini turut dirasakan penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor.
Selain beberapa kawasan di Kampung Pandan dan Jalan Tun Razak, penduduk di Cyberjaya, Selangor turut mendakwa merasai gegaran sekitar pukul 9.40 pagi tadi.
Menerusi beberapa video yang dikongsi di media sosial, ratusan kaki tangan pejabat di sekitar Jalan Imbi dan Jalan Tun Razak dilihat meninggalkan pejabat masing – masing sebagai langkah keselamatan.
Sementara itu, pihak berkuasa Indonesia memaklumkan gempa bumi itu tidak berpotensi menyebabkan tsunami.
Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), mengesahkan gempa itu dikesan pada kedalaman 10 kilometer (km) berlaku pada jarak 87 km barat laut dari Payakumbuh, Indonesia dan 324 km barat daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan. -TVS