SIBU, 24 Feb: Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas sebelum terlanggar batu di Jalan Deshon dekat sini pada awal pagi Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu, berkata dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 6.30 pagi itu, pemandu kereta, Willy Asain, 23, maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari keretanya.
Menurut Alexson, sebelum kejadian, mangsa, yang memandu berseorangan, telah bergerak dari Sibujaya menghala ke pusat bandar.
“Mangsa yang tercampak ditemui di tepi jalan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak petugas ambulans Hospital Sibu,” jelasnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Siasatan lanjut polis, katanya, mendapati mangsa berasal dari rumah julin, Sungai Mapai, Kanowit.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pngangkutkan Jalan (APJ) 1987.” – TVS