WASHINGTON, 24 Feb: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Rabu merayu Presiden Rusia Vladimir Putin agar tidak menyerang Ukraine.
“Jika operasi sedang diatur, hanya satu perkara ingin saya katakan: Presiden Putin, hentikan tentera daripada menyerang Ukraine,” kata Guterres pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB lapor Agensi Anadolu.
“Beri peluang kepada keamanan. Terlalu ramai sudah kehilangan nyawa,” tambahnya.
Sementara itu, Setiausaha bagi Hal Ehwal Politik dan Pembangunan Keamanan PBB, Rosemary DiCarlo berkata semua langkah perlu mesti diambil demi menjamin keamanan.
“Kami tidak dapat ramalkan apa akan berlaku dalam tempoh beberapa jam lagi dan beberapa hari akan datang di Ukraine. Penderitaan manusia dan kemusnahan semakin meningkat.
“Rakyat Ukraine dambakan keamanan, dan saya pasti rakyat Rusia turut berkongsi perasaan yang sama,” kata DiCarlo.
Presiden Rusia Vladimir Putin pada Isnin mengumumkan Moscow mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah di timur Ukraine Luhansk dan Donetsk termasuk menghantar pasukan untuk “mengekalkan keamanan” di sana.
Pengumuman itu mendapat kecaman global serta disifatkan melanggar Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.
Negara-negara Barat turut mengumumkan sekatan baharu ke atas Rusia berikutan kejadian itu.
Selepas menyerang Semenanjung Crimea pada 2014, Moscow mula menyokong puak pemisah di timur Ukraine menentang kerajaan pusat, satu dasar yang telah dikekalkan sejak itu.
Konflik itu telah meragut lebih 13,000 nyawa, menurut PBB. – TVS