KANOWIT, 23 Feb: Masyarakat pekan ini disaran agar tidak menganggap pekan ini sebagai ‘pekan koboi’ sehingga ada yang tidak mengendahkan undang-undang jalan raya.
Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintenden Tega Bilong, berkata pihaknya daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) telah mengadakan Ops Terancang dan Ops Bersepadu pada pagi Rabu dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran itu.
Menurutnya, sebanyak 12 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya telah dikeluarkan semasa operasi dalaman tersebut dijalankan pada jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari.
“Daripada 12 saman itu, pihak polis telah mengeluarkan dua saman motosikal melibatkan kesalahan lesen kenderaan motor tamat tempoh dan gagal tunjuk lesen manakala sembilan saman motokar melibatkan kesalahan seperti tiada nombor pendaftaran, nombor plat tidak ikut peraturan, gagal tunjuk lesen, tidak memakai tali pinggang keledar, lampu brek tidak berfungsi dan seorang pemilik kenderaan pacuan empat roda didapati mengubahsuai ekzos,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Selain itu, katanya, polis juga memberi amaran kepada mereka yang disaman supaya tidak mengulangi kesalahan yang dilakukan, dan mengikut peraturan lalu-lintas yang telah ditetapkan.
Ujarnya lagi, operasi tersebut juga bertujuan bagi mencegah kemalangan jalan raya dan ia akan terus dilaksanakan daripada semasa ke semasa.
Katanya, operasi tersebut melibatkan semua elemen di Ibu Pejabat Daerah Kanowit yang diketuai seorang pegawai dan lima anggota BSPT.
Sehubungan itu, Tega juga menasihatkan orang ramai supaya lebih berdisiplin ketika meletakkan kenderaan mereka di sekitar Pekan Kanowit.
“Saya juga ingin menasihatkan agar orang ramai, terutamanya pemilik kenderaan, supaya tidak meletakkan kereta mereka ikut sesuka hati seperti ‘double parking’ kerana situasi seumpama ini akan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan sangat mengganggu di pekan ini,” jelasnya.
Tambah beliau, walaupun pekan ini kecil namun ada segelintir masyarakat di sini menganggapnya sebagai ‘comboy town’ dan ikut sesuka hati mereka memakir kenderaan, terutamanya pada waktu sibuk.
“Kami sering menerima aduan daripada orang ramai mengenai masalah parkir disebabkan sikap tidak bertimbang rasa segelintir pengguna jalan raya, terutamanya pada hujung minggu,” kata Tega.
Tegasnya, pihak polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan saman sekiranya masih ada masyarakat yang mengingkari peraturan jalan raya. – TVS