Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

KPM beri pilihan sekolah rendah, menengah jalankan PdPR

ByBernama

KULAI, 23 Feb: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi pilihan kepada sekolah-sekolah rendah dan menengah untuk menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya penularan kes COVID-19 berada pada tahap tinggi. 

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mohamad Alamin berkata kementerian kini memfokuskan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Memang kita sudah beri pilihan kepada sekolah rendah dan menengah, Tingkatan Satu hingga Empat, tidak perlu ke sekolah.

“Yang lain, mereka boleh buat PdPR dan sekolah rendah juga boleh memohon untuk mengadakan PdPR jika ada risiko penularan COVID-19. Kita sentiasa fleksibel dan menilai risiko dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra 2 di sini pada hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pengoperasian sekolah dan tindakan KPM susulan peningkatan kes COVID-19. 

Mohamad berkata KPM telah menyediakan panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada sekolah-sekolah untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku jangkitan penularan COVID-19. 

“Garis panduan telah kita sediakan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Pejabat Kesihatan Daerah akan sentiasa bantu KPM, dan sekiranya ada kes COVID-19 di sekolah, kita akan lapor dan mereka akan buat penilaian risiko. 

“Kalau berlaku kes di asrama, KKM akan menilai sama ada perlu diteruskan atau tutup. Kalau sampai tahap (kes tinggi) kita akan tutup, jika belum kita ambil langkah meminimumkan risiko supaya tidak menular dengan lebih teruk. Keputusan yang kita ambil adalah berdasarkan kepada keselamatan murid dan guru di sekolah,” katanya. 

Sementara itu, Mohamad berkata KPM akan membuat keputusan mengenai pelaksanaan ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), dalam masa terdekat.

Menurutnya, kementerian masih meneliti dan berbincang mengenai perkara tersebut sebelum membuat keputusan rasmi.

“Sama ada tangguh atau batal, kita masih dalam penilaian dan perbincangan. Kita akan selidik dan teliti pandangan yang diterima dan kita akan rumuskan. Saya percaya Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin akan keluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya.

Hari ini, media melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa KPM untuk menangguhkan atau membatalkan pelaksanaan PT3 atas faktor keciciran yang dialami pelajar Tingkatan Tiga. 

Presiden NUTP Aminuddin Awang dilaporkan berkata penangguhan itu penting kerana pelajar Tingkatan Tiga telah keciciran pelajaran apabila mereka hanya belajar selama beberapa bulan sahaja pada 2020 dan 2021 susulan pandemik COVID-19. – TVS

Tags: #bm, KPM, pdpr, sekolah

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan