MIRI, 22 Feb: Sebuah rumah setingkat jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dijilat api dalam satu kebakaran di Kampung Sulap Lada Kelulit, Batu Niah.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah, Rary Benjie, berkata seramai 10 orang anggota dari balai tersebut telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi pada jam 2.47 petang.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kebakaran, mereka terus bertindak memadam api dengan menggunakan dua pancutan sepanjang 200 kaki dari pam pili bomba sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
Semasa kebakaran berlaku, terdapat tujuh orang penghuni, yang berada di dalam rumah, sempat keluar untuk menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan.
Semua penghuni akan tinggal sementara di rumah anak pemilik berhampiran rumah yang terbakar tersebut.
Punca kebakaran masih dalam siasatan. – TVS