Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pembangunan ekonomi harus diimbangi kemampanan alam semula jadi

KUCHING, 22 Feb: Alam semula jadi merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat di Sarawak yang amat penting sekali, khususnya bagi penduduk peribumi yang tinggal di kawasan pedalaman dan luar bandar atau desa.

Mereka kini semakin komited kepada kemampanan alam sekitar, dan lebih prihatin tentang amalan hijau dalam kegiatan ekonomi harian.

Antara usaha yang mereka buat untuk menjaga alam sekitar adalah penanaman lada secara lestari seperti di Katibas, Song, penanaman teh gaharu di Ulu Sungai Menyang, Batang Ai, dan pengurusan sungai serta pemuliharaan ikan menggunakan sistem tagang di Sungai Kain, Baleh.

Mereka berusaha untuk memajukan diri dari segi ekonomi, dan pada waktu yang sama, tetap menjaga alam semula jadi. Budaya setiap masyarakat etnik sangat berkait rapat dengan kepelbagaian biologi yang kaya di Sarawak.

Melalui tradisi dan amalan nenek moyang, masyarakat peribumi telah membangunkan cara mereka sendiri untuk menggunakan sumber semula jadi.

Walaupun pembalakan dan pembinaan empangan hidroelektrik merupakan beberapa aktiviti yang menyumbang kepada pendapatan mereka, namun aktiviti rekreasi serta penggunaan produk bukan kayu seperti rotan, buah-buahan dan herba juga amat penting.

Alam semula jadi bukan sahaja menyediakan sumber yang memacu pertumbuhan negeri tetapi juga merupakan komoditi bagi masyarakat tempatan.

Bagi melindungi keperluan penduduk luar bandar, usaha pembangunan mesti dijalankan secara mampan untuk melindungi keperluan mereka serta biodiversiti dan budaya.

Ini seterusnya akan memberi faedah lain seperti keselamatan makanan, air bersih, tanah yang subur, dan pemeliharaan ilmu pengetahuan tradisional.

Perkara-perkara di atas disebut di dalam sebuah buku meja kopi dalam Bahasa Inggeris yang baharu sahaja diterbitkan oleh WWF-Malaysia, bertajuk ‘The Value of Nature: Balancing Conservation, Development, and People in the Heart of Borneo’.

Ia ditulis oleh pengurus projek kanan organisasi pemuliharaan kebangsaan tersebut, Cynthia Chin, dengan kerjasama wartawan tempatan, Russell Ting, dan dihasilkan di bawah projek pemuliharaan merentasi sempadan, iaitu Green Economy in the Heart of Borneo (Ekonomi Hijau di Jantung Borneo).

WWF-Malaysia dan WWF-Indonesia melaksanakan projek tersebut dengan sokongan daripada Kementerian Alam Sekitar, Pemuliharaan Alam Semula Jadi dan Keselamatan Nuklear Persekutuan Jerman (BMU) dari 2016 hingga hujung 2021.

Chin berkata buku itu memberi gambaran sepintas lalu tentang kerja multi-disiplin yang pelbagai dan meluas merentasi landskap projek itu yang begitu luas sejak enam tahun lalu.

“Ia menjelaskan betapa rumitnya usaha mengimbangi pemuliharaan alam semula jadi dengan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan manusia. Paling utama sekali, ia mengetengahkan betapa pentingnya alam semula jadi pada asasnya dan secara langsung kepada pembangunan, ekonomi dan juga kesejahteraan manusia.

“Usaha untuk mencapai kemampanan dan pemuliharaan tidak ada penghujungnya. Kami bergerak secara berperingkat-peringkat. Selama enam tahun terakhir ini, ia adalah mengenai memulakan idea untuk mencapai ekonomi hijau, menguji konsep, dan menyaksikannya dihidupkan dalam projek perintis,” katanya.

Chin berkata asas bagi ekonomi hijau telah diletak apabila organisasi mereka menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan di Batang Ai, Katibas dan Baleh, dan usaha ini perlu diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

“Kuncinya sekarang adalah untuk meneruskan kerja maraton ini secara berperingkat-peringkat, daripada permulaan kepada pertumbuhan dan replikasi di lebih banyak kawasan. Rangka kerja sudah disediakan supaya mana-mana kumpulan, bukan sahaja WWF, dapat membawanya lebih jauh lagi,” tambahnya.

Untuk memuat turun salinan buku berkenaan dalam Bahas Inggeris, layarilah:

https://www.wwf.org.my/media_and_information/publications/?30005/The-Value-of-Nature-Balancing-Conservation-Development-and-People-in-the-Heart-of-Borneo

atau  

Mengenai WWF-Malaysia

WWF-Malaysia atau Tabung Alam Malaysia merupakan sebahagian daripada rangkaian WWF, sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang berusaha untuk memastikan kelestarian alam semula jadi bagi manfaat manusia dan hidupan liar. Ditubuhkan pada tahun 1972, WWF-Malaysia mempunyai misi “menghentikan degradasi alam semula jadi dan membina masa hadapan yang harmoni bagi manusia dan alam sekitar”. Kebanyakan kerja WWF-Malaysia bertumpu kepada enam fokus, iaitu hutan, laut, hidupan liar, makananan, iklim dan tenaga; dan tiga pemacu utama kepada masalah persekitaran, iaitu pasaran, kewangan dan kerajaan. Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang projek-projek WWF-Malaysia, sila layari laman web badan tersebut di https://www.wwf.org.my/media_and_information/media_centre/   

Mengenai Green Economy in the Heart of Borneo (HoB) (Ekonomi Hijau di Jantung Borneo).

Ekonomi Hijau di HoB merupakan projek yang meliputi kawasan seluas dua juta hektar, merentasi utara Kalimantan Barat hingga ke tengah Sarawak. Kawasan ini telah dikenal pasti bagi projek Koridor Rentas Sempadan HoB, yang dibiayai di bawah Inisiatif Iklim Antarabangsa, Kementerian Alam Sekitar serta Pemuliharaan Alam Semula Jadi dan Keselamatan Nuklear Jerman. Projek koridor itu bertujuan untuk membangunkan konsep pengurusan ekonomi hijau yang menggalakkan penggunaan dan pengeluaran sumber mesra alam dalam Koridor HoB merentasi sempadan bagi Kalimantan Barat dan Sarawak. Projek ini terletak di bawah Inisiatif Koridor HoB yang bertujuan untuk mewujudkan ketersambungan ekologi antara kawasan perlindungan dan penggunaan tanah yang berbeza merentasi Brunei Darussalam, Sabah dan Sarawak di Malaysia serta empat buah wilayah Indonesia di Kalimantan Barat, Tengah, Timur dan Utara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan