MUKAH, 21 Feb : Pemilik sebuah premis menjual barang lusuh bakal berdepan tindakan makhkamah apabila didapati beroperasi secara haram kerana tidak mempunyai lesen sah bagi menjalankan perniagaan.
Kegiatannya itu terbongkar selepas Polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah melakukan pemeriksaan ke atas premis yang terletak di Jalan Ulu Bukut Ulu Balingian tengah hari tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, pemeriksaan dilakukan sekitar jam 12.43 tengah hari menerusi Op Lusuh.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu telah beroperasi tanpa memiliki lesen di bawah Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 (Akta 189) yang sah.
“Susulan itu, kita mengambil beberapa keping gambar premis sebagai bahan bukti namun tiada barang-barang lain yang dirampas,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhamad Rizal menjelaskan tujuan laporan dibuat adalah untuk tindakan saman di mahkamah.
Pada masa yang sama katanya, suspek yang berusia 60 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai berkenaan turut dipanggil ke IPD Mukah untuk dirakam percakapan.
Kes masih dalam siasatan dan jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh dihukum di bawah Seksyen 9 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM 2,000 atau penjara maksimum setahun. – TVS