SEREMBAN, 21 Feb : Kira-kira 30 rumah membabitkan lebih 130 penduduk di Gugusan Felda Jelai 1 hingga 4 dekat Gemas mengalami kerosakan akibat hujan lebat dan ribut, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas Penolong Penguasa Bomba Mohd Farid Abu Bakar berkata kejadian hampir setengah jam bermula 5.30 petang itu mengakibatkan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin manakala beberapa kenderaan dihempap pokok.
“Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini dan hanya empat orang daripada satu keluarga ditempatkan di Kuarters Felda Jelai 1 selepas rumah mereka rosak teruk.
“Ada mangsa yang menumpang di rumah saudara mara untuk sementara waktu dan ada yang tidak berpindah kerana kerosakan dialami tidak teruk selain bimbang penularan COVID-19 sekiranya dipindahkan,” katanya kepada Bernama malam ini.
Beliau berkata kejadian itu pertama kali berlaku setakat tahun ini dan jumlah kerugian masih dinilai.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi akaun Twitter mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir yang dijangka berlaku melibatkan beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan Kelantan sehingga malam ini.
— TVS