MUKAH , 18 Jan : Program Jualan Keluarga Malaysia diperluaskan ke seluruh Sarawak dengan terbaharu akan dianjurkan di kawasan Parlimen Igan membabitkan dua lokasi.
Ketua Cawangan, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Mukah , Salihin Den berkata, lokasi pertama penganjuran program itu akan berlangsung pada 24 hingga 25 Februari ini bertempat di Long Heng Mini Market Daro.
Katanya, program sama akan turut diadakan di Pasar Raya Nam Leong Dalat pada 25 hingga 26 Februari ini.
” Bagi penganjuran di Daro , majlis perasmian akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Igan , Ahmad Johnie Zamawi.
Sehubungan itu, KPDNHEP mengalu-alukan kedatangan orang ramai di Igan dan Dalat untuk mengunjungi Program Jualan Keluarga Malaysia yang diadakan selama empat jam dari pukul 10 pagi sehingga 2 petang,” katanya menerusi sidang media di sini hari ini.
Salihin berkata, pihaknya berharap penganjuran Jualan Keluarga Malaysia akan membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran.
“ Antara barangan yang akan dijual termasuklah gula, tepung gandum, beras, minyak masak, makanan diproses, telur , sayur-sayuran dan pelbagai lagi barangan keperluan asas lain,” katanya.
Di Parlimen Mukah sebelum ini program berkenaan berlangsung di tempat parkir Pasar Raya Gafu Mukah pada 25 hingga 26 Januari lalu.
Sebelum ini, Pengarah KPDNHEP Sarawak Dato Stanley Tan berkata, program yang secara rasmi dilancarkan pada 2 Disember 2022 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri itu, telah dilaksanakan di Sarawak melibatkan lebih 46 lokasi. -TVS