SAO PAULO, 18 Feb : Angka kematian meningkat kepada 105 orang, dengan 140 mangsa masih hilang, akibat tanah runtuh dan banjir berikutan hujan lebat pada Selasa di bandar Petropolis Brazil di negeri Rio de Janeiro, menurut pihak berkuasa tempatan Khamis, lapor Xinhua.
Menurut pihak berkuasa pertahanan awam Rio de Janeiro, sekurang-kurangnya 400 anggota bomba bekerjasama dengan anggota tentera untuk mencari mangsa, selepas sebahagian besar Petropolis musnah akibat tanah runtuh dan banjir.
Hujan lebat pada Selasa di bandar pergunungan itu, yang terletak kira-kira 68 km ke utara bandar Rio de Janeiro, mencetuskan lebih 50 kejadian tanah runtuh.
Lebih 500 keluarga dipindahkan, manakala bekalan tenaga elektrik dan air minuman turut terputus.
Gabenor negeri Rio de Janeiro Claudio Castro menyamakan keadaan itu seperti “situasi perang,” manakala pejabat Datuk Bandar Petropolis menanggap keadaan itu sebagai bencana awam dan mengeluarkan amaran kepada penduduk kemungkinan hujan lebat dalam 48 jam berikutnya.
Sementara itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Brazil menunjukkan bahawa risiko tanah runtuh baharu adalah “sangat tinggi,” memandangkan hujan lebat meningkatkan tahap kelembapan dalam tanah, yang mencetuskan kemungkinan kerpasan (pemulawapan) berskala besar baharu. – TVS