KUCHING, 17 Feb : Polis menahan seorang pemandu kereta bagi membantu siasatan kes kemalangan maut melibatkan pejalan kaki di Jalan Setia Raya, di sini pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia pada pukul 4.30 petang keesokan harinya ketika dirawat di Hospital Umum Sarawak.
Katanya, suspek yang berusia 21 tahun itu ditahan kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
“Identiti si mati yang merupakan seorang lelaki belum dapat dipastikan kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.
“Sehubungan itu, polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Azri Mohd. Azhar di talian 012-9059549,” katanya.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -TVS