Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jeffrey Webb Olimpik Beijing 2022
Jeffrey Webb Olimpik Beijing 2022

Olimpik Musim Sejuk: Cabaran Malaysia tamat selepas Jeffrey terkandas

ByBernama

KUALA LUMPUR, 17 Feb : Cabaran Malaysia pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 berakhir selepas peluncur Alpine negara Jeffrey Webb tidak berjaya meneruskan saingan dalam acara slalom lelaki di Pusat Ski Alpine Nasional Yanqing semalam.

Beliau, yang muncul sebagai atlet Malaysia pertama untuk membuat dua penampilan di temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk selepas kemunculan sulungnya pada edisi 2018 di PyeongChang, Korea Selatan, terjatuh pada awal saingan Run 1 yang menyebabkannya gagal untuk meneruskan acara.

Ia seterusnya menghalang Jeffrey daripada beraksi dalam Run 2 untuk mencabar kedudukan terbaik keseluruhan.

Keputusan itu menyaksikan atlet yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan berusia 23 tahun itu mengalami nasib malang buat kali kedua berturut-turut selepas gagal menamatkan acara sama empat tahun lepas.

“Jeffrey telah berusaha sebaik mungkin, namun nasib tidak memihak kepadanya. Seharusnya kita berikan penghargaan terhadap sumbangannya yang telah mengibarkan bendera negara di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 ini.

“Kita berharap Jeffrey akan terus gigih berlatih dan bangkit kembali pada Sukan Musim Sejuk Milano Cortina 2026,” kata Chef-de-Mission (CDM) Malaysia ke Beijing 2022, Moira Tan, dalam catatan di laman Facebook Majlis Olimpik Malaysia semalam.

Sebelum ini, atlet luncur Alpine negara Aruwin Idami Salehhuddin, yang membuat penampilan sulung di temasya ini, menamatkan cabaran dalam acara giant slalom wanita dalam kelompok 40 terbaik pada 7 Februari lepas.

Dua hari kemudian nasib sekali lagi tidak menyebelahi peluncur berusia 17 tahun itu dalam acara keduanya, iaitu slalom wanita, apabila dia gagal menamatkan acara selepas terjatuh pada Run 1.

Hanya dua atlet sahaja mewakili Malaysia pada temasya sukan berprestij ini yang dijadual melabuhkan tirai pada 20 Februari.

Sementara itu Jeffrey menerusi video yang dikongsi Majlis Olimpik Malaysia kepada media menyuarakan rasa sedikit hampa selepas tidak berupaya melengkapkan saingannya dengan sempurna.

“Hari ini persembahan saya tidak sebagaimana yang diharapkan, tetapi saya gembira dengan detik perjalanan, latihan yang saya lalui untuk sampai ke acara hari ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua terhadap kata-kata semangat dan sokongan. Saya harap untuk meneruskan yang terbaik di masa hadapan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan