Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Singapura

Singapura-Malaysia bincang perluas VTL darat untuk kenderaan persendirian

SINGAPURA, 16 Feb : Singapura sedang berbincang dengan Malaysia mengenai memperluaskan pengaturan Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) darat untuk kenderaan dan koc persendirian, kata pengerusi bersama Pasukan Petugas COVID-19 Pelbagai Kementerian (MTF) republik itu Gan Kim Yong.

Buat masa ini tiada kenderaan persendirian dibenarkan melalui darat antara kedua-dua negara kecuali bas awam.

“… apabila kami bersedia kami akan membuat pengumuman yang perlu dan sesuai,” kata Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Industri, pada sidang media maya di sini.

MTF ditanya bilakah kenderaan persendirian dibenarkan masuk ke kedua-dua negara.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan S Iswaran berkata Singapura akan memperdalam dan memperluaskan VTL dengan negara jiran ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

“Kami sedang dalam perbincangan lanjut untuk memperluas VTL ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu. Kami menanti untuk melancarkannya tidak lama lagi,” katanya pada sidang media yang sama.

Singapura telah memulakan VTL melalui udara dan darat dengan Malaysia mulai 29 Nov tahun lepas.

Selain itu, Singapura juga akan memperkemaskan langkah-langkah sempadannya untuk VTL yang akan menyaksikan, antara lain, Pemegang Pas Jangka Panjang tidak lagi perlu memohon Pas Perjalanan Bervaksin (VTP) atau Kebenaran Kemasukan untuk ke Singapura, mulai 22 Feb 2022.

Perkara lain termasuk keperluan sejarah perjalanan akan dikurangkan daripada 14 kepada 7 hari; protokol ujian 7-Hari yang dipertingkatkan akan dihentikan; dan pengembara VTL tidak perlu lagi melakukan ujian Tindak Balas Rantaian Polimerase (PCR) semasa ketibaan.

Sementara itu, tempoh Notis Duduk Rumah (SHN) akan diseragamkan kepada tujuh hari untuk semua kategori negara/rantau berisiko memandangkan tempoh inkubasi Omicron yang lebih pendek.

Bagi memudahkan perjalanan bervaksin, republik itu akan membenarkan semula dan meningkatkan kuota VTL secara berperingkat.

Kuota VTL udara akan dibenarkan sepenuhnya berkuat kuasa serta-merta manakala kuota darat mulai 22 Feb 2022.

Penjualan tiket bas dan penerbangan untuk VTL darat dan udara yang digantung sementara pada 23 Dis lalu akan dibuka semula pada 21 Jan.

Bagaimanapun, kuota untuk tiket bas dan penerbangan dikurangkan sebanyak 50 peratus berbanding kapasiti sedia ada bagi laluan darat dan udara. -TVS

Tags: #bm, Singapura, VTL

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan