KUCHING, 16 Feb : Jawatan Timbalan Ketua Menteri turut akan digantikan kepada takrif Timbalan Premier , kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan , Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
“Kalau kita lihat apa yang telah digubalkan, Timbalan Ketua Menteri akan menjadi Timbalan Premier. Yang lain seperti Menteri Muda itu terus menjadi Timbalan Menteri.
“Bagaimanapun, yang menjadi agak rumit adalah takrifnya Ketua Menteri ‘Premier’ kerana kita jarang menggunakan terma berkenaan,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Ujar Abdul Karim, pewartaan penggunaan takrif itu akan mengambil masa seminggu hingga tiga bulan bergantung kepada pemprosesan pewartaan.
“Memandangkan ia sudah dibincangkan, saya rasa adalah lebih baik perkara ini dipercepatkan kerana kita tidak mahu timbul spekulasi,” tegas Karim.
Berhubung perkara sama, Abdul Karim turut menyifatkan tindakan dan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong yang menyamakan jawatan Premier seperti jenama kotak tisu ‘Premier’ adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.
“Ini kerana, pemilihan untuk menggunakan takrif itu di Sarawak adalah untuk membawa serta meningkatkan status negeri ini ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya. -TVS