DARO, 15 Feb : Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan dua wanita warga Indonesia yang mayat mereka dijumpai terapung di Sungai Samong, Daro pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, Deputi Superintendan (DSP) Neil Beginda berkata, suspek yang berusia 31 tahun berbangsa Bajau itu ditahan pada pukul 3.30 petang di tepi Jalan Sentral, Daro pada hari kejadian.
Katanya, kes bunuh itu dipercayai berlaku di RC Dermaga Sungai Samong dengan dua mangsa dipercayai dipukul dan dibunuh secara berasingan sebelum mayat mereka dicampak ke sungai berkenaan.
“Kes ini melibatkan mangsa tiga wanita warganegara Indonesia berumur lingkungan umur 41 hingga 47 tahun.
“Mayat pertama ditemui terapung pada hari kejadian manakala mayat kedua ditemui semalam di sungai yang sama,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu, seorang lagi wanita yang merupakan rakan kepada kedua -dua mangsa turut dipukul oleh suspek namun ditemui terselamat di Jalan Tebaan, berhampiran tempat kejadian pada Sabtu lepas.
“Keadaan mangsa ketiga ini dilaporkan stabil namun masih trauma,” katanya.
Tambahnya lagi, suspek direman sehingga 20 Februari untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -TVS