KUCHING, 14 Feb : Seramai 79 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak, Disember lepas selesai mengangkat sumpah sempena Persidangan Hari Pertama, Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 yang bermula hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga ADUN Gedong mendahului istiadat di hadapan Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Ia kemudian diteruskan oleh tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu ADUN Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ADUN Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan ADUN Batu Kawa, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Turut mengangkat sumpah ialah wakil rakyat daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) termasuk empat ADUN Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan dua ADUN DAP.
Sementara itu, ADUN Kuala Rajang , Datu Len Talif Salleh; ADUN Piasau , Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii tidak hadir kerana menjalani kuarantin.
Majlis perasmian hari ini menyaksikan tiada upacara perasmian oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Mohamad Asfia sebelum ini memberitahu, upacara berkenaan akan berlangsung pada satu tarikh yang ditetapkan kerajaan negeri kelak.
Persidangan kali ini akan menyaksikan lima Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentang oleh empat Menteri.
Ia melibatkan RUU Perbekalan Tambahan yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas manakala RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) pula akan dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga merangkap Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sementara itu, pembentangan RUU Tafsiran (Pindaan) pula akan dilakukan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali manakala RUU Lembaga Industri Sagu dan Nipah serta RUU Lembaga Industri Getah pula akan dibentangkan oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Tiada sesi soal jawab dan penggulungan oleh para menteri terlibat pada sidang yang berlangsung selama tiga hari ini. -TVS