KOTA KINABALU, 12 Feb : Perlawanan sulung Sarawak United FC dalam Piala Sabah Maju Jaya menentang Kedah Darul Aman FC yang dijadual pukul 4.15 petang tadi ditangguhkan berikutan hujan lebat.
Menurut kenyataan penganjur, perlawanan berkenaan akan dijadual semula pada waktu sama di Stadium Likas esok.
Terdahulu, sepak mula ditangguhkan pada pukul 5.30 petang namun akhirnya penganjur membuat keputusan membatalkan aksi hari ini berikutan permukaan padang yang digenangi air.
Empat pasukan termasuk tuan rumah Sabah FC, Sarawak United FC, Kedah Darul Aman FC dan Kelantan FC menyertai kejohanan berkenaan yang dianggap sebagai aksi pemanas badan sebelum saingan Liga Super 2022 bermula bulan depan.
Sarawak United yang dibimbing E. Elavarasan akan menentang Kedah Darul Aman FC dalam aksi pertama Liga Super pada 4 Mac depan di Stadium Negeri Petra Jaya. -TVS