KUCHING, 12 Feb : Pengurusan cemerlang yang dipamerkan oleh pasukan Kuching City FC diyakini mampu untuk melonjakkan prestasi pasukan itu ke tahap yang lebih baik dalam saingan Liga Malaysia.
Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak , Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setakat ini beliau melihat Kuching FC cemerlang dan harus menjadi contoh kepada pengurusan sukan.
“Pasukan ini begitu komited dan saya yakin mereka boleh melangkah lebih jauh.
Oleh itu, saya berharap supaya rakyat Sarawak terus memberi sokongan dan mendoakan kemenangan kepada wakil negeri kita ini,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Jersi Baharu Pasukan Kuching City FC di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Presiden Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, Kementerian Belia dan Sukan Sarawak akan sentiasa memberi sokongan dan menghulurkan bantuan kepada skuad The Cats bagi memastikan mereka mampu mencapai prestasi yang lebih baik.
” Saya bertanya kepada Presiden (Fazzrudin Abdul Rahman), sekiranya mereka memerlukan bantuan, namun beliau, memberitahu, pasukan masih mampu untuk menguruskannya keperluan sendiri,” katanya. -TVS