BINTULU, 11 Feb : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Bintulu menahan tiga bot tunda dan tiga tongkang yang sedang memindahkan ratusan batang kayu balak tanpa lesen menerusi Operasi Permai yang dilancarkan pada pukul 7 malam semalam.
Ketika operasi, kesemua bot dan tongkang berkenaan berada pada kedudukan lebih kurang 3.5 batu nautika dari muara Sungai Kemena.
Pengarah APMM zon berkenaan, Kapten Maritim Mohd. Khairol Anuar Saad berkata, kesemua hasil perkayuan bercukai itu disyaki dari sebuah kapal yang berpangkalan di Papua New Guinea.
“Anggota APMM yang bergerak ke kawasan perairan berkenaan dengan menggunakan Kapal Maritim (KM) Renggis mendapati kegiatan itu dilakukan menggunakan dokumen kebenaran yang telah tamat tempoh serta mereka gagal mengemukakan lesen perkapalan domestik (DSL),” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, kesemua 16 orang kru termasuk 11 orang lelaki tempatan, dua lelaki Indonesia dan tiga warga India dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati muatan disyaki kayu balak yang dianggarkan lebih kurang 680 batang dan didapati telah dipindahkan ke atas tongkang tersebut,” katanya.
Beliau memberitahu, kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967. – TVS