SIBU, 10 Feb : Akibat gelap mata dengan tawaran pelaburan lumayan yang ditawarkan menerusi satu pautan di Facebook, tiga individu di sini mengalami kerugian berjumlah RM47,455.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Dr Collin Babat berkata, pautan itu yang menawarkan ‘skim pelaburan’ sambil bekerja menggunakan nama CFG Football dengan kadar keuntungan sebanyak dua hingga 2.5 peratus setiap hari ini.
Katanya, pada 15 Oktober tahun lepas, pengadu yang tertarik dengan tawaran berkenaan memberitahu ibunya sebelum mereka mengajak seorang rakan ibunya untuk turut melabur.
” Mereka telah berhubung dengan suspek secara maya dan diminta membuat pembayaran kepada sembilan akaun bank dan secara keseluruhan telah melakukan sebanyak 24 transaksi,” katanya di sini hari ini.
Collin memberitahu, ketiga-tiga individu berkenaan mula menyesaki ‘ada yang tidak kena’ apabila sistem pelaburan berkenaan tidak berfungsi.
” Ejen pelaburan yang terlibat menguruskan pelaburan mereka juga tidak dapat dihubungi dan wang yang dibayar tidak dapat dikeluarkan semula daripada sistem berkenaan,” katanya.
Menurut Collin, pengadu telah membuat laporan polis pada Selasa lepas di Balai Polis Lanang dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 , Kanun Keseksaan. -TVS