PUTRAJAYA, 10 Feb : Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini mengesahkan bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Mohammed Khairuzzaman kini ditahan pihak berkuasa negara ini.
Tanpa mendedahkan Mohammed Khairuzzaman ditahan atas kesalahan apa, beliau berkata penahanan itu dilakukan mengikut prosedur perundangan sedia ada.
“Segala apa berlaku adalah mengikut perundangan, kalau ada kesalahan kita akan tangkap.
“Jika ada permintaan dari negara asal yang kita rasa kebenarannya, kita akan lakukan (tangkapan) dan segala dilakukan mengikut prosedur,” katanya.
Hamzah diminta mengulas penahanan Mohammed Khairuzzaman yang dilaporkan media antarabangsa hari ini dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah (JKPWAS-INDUK) Bilangan 1 Tahun 2022 bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, di sini hari ini.
Menurut laporan media, Mohammed Khairuzzaman yang dilaporkan tinggal di Malaysia sebagai pelarian ditahan di rumahnya di Ampang semalam dan dijangka dihantar ke Bangladesh. -TVS