TANJUNG MANIS, 10 Feb : Seorang terselamat manakala dua lagi masih hilang apabila sebuah kapal yang membawa muatan jentera berat karam di Sungai Batang Serdeng, di sini dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam tadi.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis, Awang Busrah Awang Mostapha berkata, mangsa yang terselamat dikenal pasti sebagai Mohamad Abdullah, 66, yang merupakan pekerja kapal berkenaan manakala identiti dua lagi mangsa belum diperolehi.
” Pekerja kapal itu diselamatkan oleh seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan kejadian dengan perahu.
Difahamkan, dia menghampiri mangsa selepas melihatnya melambai-lambai meminta pertolongan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba Tanjung Manis hari ini melibatkan kawasan radius pencarian sejauh lima kilometer (km).
Setakat ini pasukan penyelamat masih belum menemui sebarang petunjuk berkaitan mangsa yang hilang itu. -TVS