Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kasih dan sayang Norashikin Ahmad, 29, terhadap haiwan sememangnya tiada sempadan sehingga sanggup mewujudkan pusat perlindungan demi menyelamatkan ratusan haiwan terutama kucing serta anjing terbiar di sekitar Melaka.
MELAKA, 9 Feb -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin (kanan) bersama Pengasas Star Cat Shelter Norashikin Ahmad, 29, (kiri) meninjau kucing-kucing terbiar yang akan divaksin pada Program CSR Vaksinasi Kucing dan Anjing Terbiar di Star Cat Shelter dekat Kampung Paku, Kelemak hari ini. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kasih sayang tanpa sempadan, Norashikin selamatkan ratusan haiwan terbiar

ByBernama

ALOR GAJAH, 9 Feb : Kasih dan sayang Norashikin Ahmad, 29, terhadap haiwan sememangnya tiada sempadan sehingga sanggup mewujudkan pusat perlindungan demi menyelamatkan ratusan haiwan terutama kucing serta anjing terbiar di sekitar Melaka. 

Pengasas STAR Cat Shelter itu, yang terletak di Kampung Paku Kelemak di sini, berkata usaha yang dilakukan secara aktif sejak 2014 sedikit sebanyak adalah sebagai mengikut jejak langkah ayahnya Allahyarham Ahmad Saad.

“Ayah meninggal dunia pada 2012 dan ketika hayatnya, arwah memang sangat sayangkan haiwan. Mana-Mana haiwan sakit yang dia jumpa, akan dibawa balik untuk dirawat. Sejak kecil, saya lihat apa yang dia buat sehingga meresap ke dalam jiwa,” katanya kepada pemberita di program Kongsi Rezeki-CSR Programme Helping Stray Shelter di sini hari ini. 

Program yang dihadiri Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Presiden Kelab Kucing Malaysia Khalid Rashid itu bertujuan memberi vaksin kepada kucing serta anjing jalanan di pusat perlindungan haiwan berkenaan dengan kerjasama Kelab Kucing Malaysia .  

Norashikin berkata pusat perlindungan haiwan miliknya kini menempatkan hampir 100 ekor kucing dan 60 ekor anjing serta lima ekor monyet.   

“Biasanya saya akan bawa balik kucing jalanan yang dijumpai dan bagi rawatan bersesuaian termasuk vaksin serta memandulkannya. Untuk rawatan, saya bertuah sebab ada ramai kenalan di seluruh negara yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan berkaitan haiwan bersedia memberi bantuan tanpa mengira masa,” katanya.

Bercerita pengalaman menyelamatkan haiwan terbiar, beliau mengakui pelbagai kesukaran dan cabaran terpaksa dihadapi.

Paling tidak boleh dilupakan, kata Norashikin, ialah ketika misi menyelamatkan beberapa ekor kuda yang diabaikan.

“Setelah menerima aduan, kami ke tempat kuda tersebut dan memang sangat sedih melihat keadaan haiwan itu. Saya dan pasukan buat laporan kepada pihak polis serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Campur tangan ini berjaya menyelamatkan haiwan tersebut.

“Begitu juga dengan kes kami menyelamatkan seekor anjing yang dibakar individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Biarpun terpaksa menanggung beban kewangan selain berdepan kekangan masa dan tenaga, Norashikin berkata beliau tidak akan sesekali berpatah balik dalam usaha menyelamatkan haiwan yang terbiar. 

“Saya anggap apa yang saya lakukan ini sebagai niat sedekah pahala buat arwah ayah atas teladan yang ditunjukkan semasa hayatnya. Saya harap ibu bapa dapat semaikan pada anak-anak mereka perasaan sayang pada haiwan,” katanya. -TVS

Tags: haiwan, melaka

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan