KUCHING, 9 Feb : Tiga lelaki yang memecah masuk sebuah rumah di Sungai Maong Tengah , dekat sini , pada Ahad lepas tidak sempat melarikan diri apabila diberkas oleh polis dalam rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, anggotanya yang menerima maklumat berkaitan kes itu bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menahan kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 39 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati kesemua suspek telah melakukan sekurang-kurangnya dua kes pecah rumah di kawasan perumahan di sekitar bandar raya ini.
” Ketiga – tiga suspek juga gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan salah seorang mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan curi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu, antara barangan yang dirampas dan dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan kegiatan pecah rumah termasuklah tukul, parang panjang, barang perhiasan dan wayar.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. -TVS