Grafik oleh Norsyazwani Syahirah
KUCHING, 9 Feb : Seramai 2, 597 742 pemilih berdaftar akan menentukan kerajaan baharu Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 negeri itu yang ditetapkan pada 12 Mac depan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurut SPR, PRN Ke-15 Johor akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemaskini setakat 21 Januari lepas.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon pula akan berlangsung pada 26 Februari ini diikuti pengundian awal pada 8 Mac.
“ Berdasarkan daftar berkenaan, seramai 2,574,835 merupakan pengundi biasa manakala 10,955 orang pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan masing – masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung PRN Johor di Johor Bahru hari ini.
Abdul Ghani memberitahu, baki pengundi terdiri daripada seramai 11,576 anggota polis dan pasangan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) serta 376 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.
Pada 22 Januari lepas, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) berkuatkuasa serta merta bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.
Johor mempunyai 56 DUN dan sebelum 2018, negeri selatan itu merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas Johor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 setelah memenangi 36 kerusi DUN manakala BN sekadar mampu mempertahankan 19 kerusi.
Begitupun pada 27 Februari 2020, PH tumbang berikutan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, MIC dan Pas mengambil alih pentadbiran selepas memiliki 28 kerusi DUN berbanding 26 kerusi oleh PH.
Jumlah berkenaan disahkan selepas 54 daripada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dititahkan menghadap Sultan Ibrahim hadir bagi menyatakan sokongan mereka berikutan kemelut politik yang berlaku selepas Bersatu keluar PH ketika itu.
Hasrat untuk menyaksikan situasi politik di Johor kembali tenang tidak bertahan lama apabila pergeseran membabitkan UMNO dengan Bersatu terus memuncak. TVS