MUKAH , 8 Feb : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Mukah akan mengambil tindakan sekiranya terdapat peniaga menetapkan syarat tertentu dan menyusahkan pembeli dalam mendapatkan bekalan telur mentah di pasaran.
Bagaimanapun Ketua Cawangan Mukah, Salihin Den berkata pihaknya tidak mempunyai halangan sekiranya ada pasar raya di Mukah menghadkan jumlah tertentu untuk seorang individu itu membeli set telur berkenaan.
“Tujuan mereka hadkan jualan adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan bekalan telur yang secukupnya.
“Bagaimanapun kita akan ambil tindakan tegas sekiranya ada pasar raya atau peniaga menetapkan syarat untuk pembelian telur ini, misalnya mesti membuat pembelian RM100 baru dapat membeli telur ini,” katanya.
Dalam pada itu untuk tempoh ini pihaknya turut memberi jaminan bahawa bekalan telur ayam adalah mencukupi untuk semua pengguna di Mukah.
Sehubungan itu, Salihin menasihati para pengguna untuk tidak melakukan pembelian panik berhubung isu telur berkenaan kerana bekalan telur akan sentiasa ada di Mukah.
“Ini adalah jaminan dari para pembekal-pembekal utama kita di sini dan jangan terpengaruh dengan isu-isu yang berlaku di tempat lain.
“Untuk pengetahun pembelian panik ini boleh menganggu keadaan bekalan telur di pasaran, malah pihak kami akan sentiasa ada di lapangan bagi memastikan barang keperluan asas juga turut mencukupi.
“Difahamkan juga beberapa pasar raya di sekitar pasar Mukah telah menerima bekalan telur baharu yang tiba pada hari ini.
“Hari ini sebanyak 350 set telur telah diterima di 101 Supermarket Mukah, 100 set telur pula diterima dari pembekal di Pasar Raya Glory Mukah, 150 set telur pula di Pasar Raya Everwin Mukah dan 500 set telur di Pasar Raya Gafu Mukah
“Manakala untuk Pasar Raya Medan Mukah bekalan telur ayam akan sampai pada hari Khamis ini dengan jumlah diterima ialah 200 set telur,” ujarnya lagi.
Terdahulu barang bekalan iaitu telur ayam dan ayam telah diwartakan menjadi barang kawalan bagi tempoh 5 Februari 2022 yang lalu hingga 5 Jun 2022 ini seperti termaktub di dalam Skim Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam (SHMATA). – TVS