Kredit Gambar Facebook Dato Sri Dr. Sim Kui Hian
KUCHING, 8 Feb : Kerajaan Sarawak melancarkan Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) dengan peruntukan berjumlah RM10 juta untuk membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah di negeri ini memiliki rumah.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menerusi HDAS, kerajaan negeri akan menyediakan depositi sebanyak 10 peratus atau pada kadar maksimum RM10,000.
Ujar beliau, pada peringkat permulaan, HDAS bakal memanfaatkan seramai 1,200 pemohon muda melibatkan kategori B40 dan M40 yang tidak mampu untuk membayar wang deposit kerana tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk membeli rumah.
“Penerima juga tidak perlu membuat bayaran semula kerana kerajaan negeri ikhlas membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan HDAS dan Program Rumah Spektra Mutiara di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Berkenaan syarat kelayakan, Abang Johari menjelaskan, skim itu ditawarkan kepada pemohon yang membeli rumah disediakan oleh pemaju swasta atau kontraktor yang berdaftar dengan Mutiara Mortgage.
Pada masa hadapan, Abang Johari berkata, kerajaan negeri juga bersedia untuk menambah peruntukan skim berkenaan namun bergantung kepada jumlah permohonan yang diterima.
Selain itu katanya, HDAS turut membuka permohonan kepada mereka yang ingin membina rumah di atas tanah sendiri.
“Milikan tanah mestilah yang diperuntukkan oleh Jabatan Tanah dan Survei di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS),” katanya.
Ketua Menteri memberitahu, selain HDAS kerajaan juga menyediakan Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak (SRAS) bagi mereka yang bekerja di kawasan bandar dengan bayaran RM200 sebulan selama 36 bulan.
“Pendaftaran kini dibuka kepada mereka yang menyewa di sekitar Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, oleh itu bagi yang layak, sila ambil peluang ini untuk memiliki kediaman yang selesa dan berkualiti,” katanya. -TVS