KUCHING, 6 Feb : Sarawak mencatatkan kes baharu positif COVID-19 tertinggi pada tahun ini apabila sebanyak 58 kes disahkan bagi tempoh 24 jam lepas.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, sebanyak 54 kes dikelaskan pada kategori satu dan dua manakala empat kes pada kategori empat dan lima.
“Sebanyak 35 kes pada kategori satu tidak bergejala manakala 19 kes berada pada kategori dua mengalami simptom ringan.
Satu kes pada kategori empat mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen manakala tiga kes pada kategori lima pula memerlukan ventilator,” jelas kenyataan berkenaan sebentar tadi.
Berdasarkan statistik, Kuching mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 21 kes diikuti oleh Sibu sebanyak 14 kes.
Miri pula mencatatkan 13 kes diikuti Kanowit sebanyak empat kes dan Lawas dengan tiga kes kes.
Sementara itu, Kapit, Selangau dan Tatau masing-masing merekodkan satu kes.
Selain itu, 32 daerah lain tidak melaporkan jangkitan selain tiada kluster baharu dikesan. – TVS