KUCHING, 9 Feb: Siapa sangka dengan hanya berpandukan resepi ‘google’, seorang wanita mampu bergelar usahawan apabila berjaya membekalkan produk sambal ikan bilis keluarannya di seluruh Sarawak.
Berkongsi cerita, Nur Fazila Alias berkata, segalanya bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada March 2020.
Ujarnya, suaminya merupakan penggemar sambal ikan bilis dan ketika tempoh PKP, dia mempunyai banyak masa terluang.
“Oleh itu, kami google untuk mencari resepi memasak sambal berkenaan.
Sejak itu, saya mendapat idea untuk mengeluarkan sambal ikan bilis menggunakan label sendiri,” katanya.
Nur Fazila berkata demikian sewaktu menjadi tetamu rancangan Sejahtera Asia yang diterbitkan oleh TVS baru – baru ini.
Bercerita lanjut, Nur Fazila berkata, pada mulanya dia hanya mempromosikan sambal ikan bilisnya menerusi media sosial sahaja dan menerima sambutan yang cukup memberangsangkan.
“Sejak itu, saya menubuhkan syarikat dinamakan SJ Production dan tidak menoleh kebelakangan lagi apabila terus menghasilkan produk bagi menampung permintaan yang semakin meningkat,” katanya.
Ke arah bergelar usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Nur Fazila berkata, dia turut dibantu oleh agensi kerajaan untuk memperbaiki tata kelola perniagaannya.
” Antara yang menyumbang kepada perkembangan SJ Production termasuklah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang memberi khidmat nasihat dan bimbingan,” katanya.
Tidak berhenti setakat sambal ikan bilis, usahawan wanita ini terus mempelbagai produk di bawah label SJ Production apabila mengeluarkan coklat yang turut mempunyai potensi besar.
” Jika sambal ikan bilis tercetus disebabkan ia menjadi kegemaran suami, produk choco jar pula dikeluarkan kerana anak – anak sangat suka menikmati manisan itu,” katanya.
Menguatkan keyakinan terhadap produk coklat, Nur Fazila berkata, dia perlu kreatif dan mempunyai pelan B kerana sambal ikan bilis bukannya dimakan setiap hari.
Kini, selepas hampir dua tahun mengasaskan SJ Production, Nur Fazila boleh tersenyum apabila berjaya memiliki premisnya sendiri dan turut mampu menggaji seramai enam orang pekerja untuk melancarkan operasi.
” Seramai tiga pekerja bertanggungjawab terhadap proses penghasilan sambal ikan bilis manakala tiga lagi dikhususkan untuk produk choco jar,” katanya.
Ditanya bagaimana dia mampu untuk meluaskan pasaran produknya, Nur Fazila berkata, SJ Production menggunakan sistem ejen untuk menjual produk berkenaan di seluruh negeri dan syarikat berkenaan hanya bertindak selaku pengeluar.
Adat dunia perniagaan pasti tidak dapat ‘lari’ daripada berdepan cabaran dan tidak terkecuali kepada syarikat kecil ini.
Ujar Nur Fazila, isu kenaikan harga bahan mentah sejak kebelakangan ini turut memberi kesan kepada perusahaannya apabila kos turut meningkat namun katanya, selagi terdaya, SJ Production akan terus berusaha memenuhi permintaan pelanggan mereka. -TVS