MUKAH, 5 Feb : Seorang lelaki warga Indonesia ditahan oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Mukah di Jalan Mukah-Selangau dekat sini petang semalam kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Buruh yang berusia 38 tahun itu ditahan bersama sepaket plastik lutsinar dan 27 keratan straw berwarna kuning berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis metamfetamina.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah menahan suspek di simpang masuk ke sebuah ladang kira -kira pukul 4.30 petang.
” Dadah seberat 5.10 gram dengan nilai anggaran RM510 berkenaan telah dirampas dan dijadikan sebagai barang kes,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau namun hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amfetamina.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) , Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) , Akta Dadah Berbahaya 1952. -TVS