Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
MIDA
MIDA

Industri farmaseutikal catat pelaburan diluluskan RM397.7 juta bagi Jan hingga Sept 2021 -MIDA

KUALA  LUMPUR, 4 Feb : Industri farmaseutikal Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM397.67 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021, mengatasi nilai tertinggi yang diluluskan bagi setahun penuh pada 2017.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjelaskan sektor itu juga merekodkan angka eksport yang mengagumkan iaitu RM2.42 bilion bagi 2021, peningkatan 24 peratus daripada angka pada 2020.

Menurut kenyataan pada Jumaat, MIDA menjelaskan semasa lawatan ke Biocon Sdn Bhd di Johor pada 26 Jan lepas, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata pihaknya sentiasa mementingkan pembangunan industri farmaseutikal, terutama ketika negara memasuki norma baharu susulan pandemik COVID-19.

“Permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan telah merancakkan perkembangan pesat industri farmaseutikal,” katanya dipetik dalam kenyataan itu.

Beliau berkata MIDA juga terus menarik dan menyasarkan pelaburan teknologi berkualiti tinggi dalam industri farmaseutikal untuk usaha mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.

“Penubuhan Biocon dan operasinya yang semakin berkembang adalah bukti kelebihan daya saing negara kita. (Ia juga mewakili) satu komitmen untuk memberikan nilai kepada pelabur kita selaras dengan kerangka Aspirasi Pelaburan Nasional dan Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.

Pada 2010, Biocon, yang merupakan antara syarikat biofarmaseutikal Asia, memilih Malaysia untuk mewujudkan kemudahan pembuatan insulin bersepadu terbesar di Asia di Kluster Logistik Perindustrian Selatan Johor.

Projek itu, bernilai lebih US$350 juta (US$1=RM4.18), merupakan antara pelaburan farmaseutikal asing terbesar di Malaysia, serta kemudahan pembuatan insulin pertama dan satu-satunya di negara ini.

Ia juga adalah kemudahan pembuatan dan penyelidikan luar negara pertama syarikat tersebut dan mempunyai kira-kira 800 pekerja.

Selain itu, ia merupakan kemudahan biologi steril pertama di Malaysia yang diperakui oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat.

Biocon telah membekalkan produk insulin ke Malaysia dari kemudahan ini sejak lima tahun lepas.

Lim berkata kerjasama Biocon-Malaysia akan menawarkan keluaran sampingan daripada aktiviti penyelidikan dan pembangunan untuk merangsangkan pertumbuhan dalam inovasi produk dan pilihan kerjaya baharu.

Dalam lawatan itu, Biocon menunjukkan rancangan peluasannya untuk menjadikan kemudahan tersebut sebagai hab pembuatan insulin yang memenuhi permintaan global. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan