MIRI, 4 Feb : Seorang lelaki tersepit selepas kereta yang dipandunya melanggar sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Curtin Waterpark , Desa Senadin dekat sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng, Mohamad Hamdani Madon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.18 pagi tadi dan sepasukan anggota terus dikejarkan ke tempat kejadian.
“Operasi mengeluarkan mangsa bermula pada pukul 10.35 pagi.
Bomba terpaksa menggunakan peralatan rescue kit untuk membuka pintu kereta jenis Honda Civic itu dan seterusnya mengeluarkan mangsa,”katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Katanya, lelaki berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian muka selain kaki kanannya juga patah.
Beliau memberitahu, terdapat seorang lagi mangsa dalam kemalangan itu iaitu seorang wanita yang berjaya keluar dari kenderaan itu dan hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka. -TVS