KUCHING, 3 Feb: Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang melarikan diri dari sekatan jalan raya dalam ‘Op Selamat’ Tahun Baharu Cina di Lebuhraya Kuching-Samarahan pada 1 Februari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, anggota polis trafik yang bertugas telah mengesan seorang lelaki yang menunggang motosikal berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, menyedari dihampiri oleh anggota polis, suspek bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya ketika kenderaan lain bergerak perlahan semasa pemeriksaan dijalankan.
“Anggota polis trafik telah mengejar suspek sehingga ke Jambatan Kuap menghala ke Kota Samarahan namun suspek berjaya memboloskan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kejadian itu dirakam oleh pengguna jalan raya dan video itu tular di media sosial.
Alexson berkata, suspek yang dipercayai warga Indonesia itu tidak memiliki lesen memandu dan ‘menghilangkan diri’ dalam kawasan hutan berhampiran.
Motosikal yang ditinggalkan oleh suspek telah dirampas mengikut Seksyen 60, Akta Pengangkutan Jalan 1987. -TVS