KOTA KINABALU, 2 Feb: Kegiatan kumpulan ajaran sesat yang menggelar diri mereka Wali Tujuh telah ditahan pihak Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) semalam.
Komander ESSCOM Ahmad Hamzah Ahmad berkata, penahanan dilakukan dalam operasi serbuan pada 1 Februari di salah sebuah rumah pekerja Ladang Bukit Kertam, Kota Kinabatangan.
“Tiga individu yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah di bawah seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 disyaki terlibat dengan kegiatan ajaran meragukan ‘Wali Tujuh’,” katanya.
Katanya lagi, kesemua suspek ditahan untuk membantu siasatan lanjut bagi membanteras kesemua suspek yang masih menyebarkan kegiatan ajaran sesat berkenaan.
Beliau memberitahu, pelbagai barang jenis pisau, senjata jenis lastik dan tangkal serta kalendar putikaan milik salah seorang suspek yang ditahan dirampas untuk tujuan siasatan.
“Hasil siasatan awal, pihak kami membuat risikan terhadap kumpulan ini yang diketuai seorang guru dan dibantu oleh dua individu anak muridnya.
“Ajaran sesat seperti ilmu batin dan kebal disyaki berkembang dengan pantas dan menarik minat pekerja asing dan ketika ini kumpulan tersebut mempunyai 20 orang pengikut di daerah Kinabatangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hamzah menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran sesat yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat tempatan.
“Sekiranya orang awam mempunyai maklumat tentang individu yang terlibat dengan ajaran sesat tersebut, mereka boleh menghubungi pihak Polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – TVS



