KUCHING, 1 Feb : Tujuh premis di Jalan Padungan di sini telah menyahut cabaran untuk melaksanakan inisiatif Eco-Street yang diperkenalkan oleh SustaiNation.
“SustaiNation memilih Jalan Padungan yang juga dikenali sebagai ‘Chinatown’ kerana ia terletak di tengah-tengah bandar raya Kuching yang dikelilingi deretan kedai makanan.
“Tujuh premis yang menyahut cabaran ini adalah Rice King, Jing Si Books and Cafe, Family, Hey Coco, Estay Cafe, New Earth Organic, dan Baking Library,” ia menyebut dalam kenyataannya.
Inisiatif Eco-Street mula dilaksanakan pada awal Januari dan akan berakhir pada bulan Mac.
Tujuannya adalah bagi menggalakkan premis di sekitar Jalan Padungan untuk mengurangkan penggunaan straw plastik, beg plastik dan resit serta menjimatkan sumber air dan elektrik bagi operasi perniagaan mereka.
Inisiatif ini diperkenalkan untuk mengurangkan kesan negatif, seterusnya memelihara alam sekitar.
SustaiNation merupakan sebuah organisasi yang menyediakan khidmat perundingan mengenai kemampanan yang memberi fokus kepada eko-produk, inisiatif seperti acara serta program, dan juga penjenamaan bersama (co-branding) dalam kolaborasi dengan inovator untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). – TVS