SIBU, 31 Jan : Seramai 14 individu dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) , Fasa 4 membabitkan nilai keseluruhan RM14,000 dalam operasi di dua buah kedai kopi di sini pada malam Ahad.
Mereka terdiri daripada pelanggan dan dua pengusaha premis berkenaan yang masing – masing dikompaun RM1,000 setiap seorang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Dr Collin Babat berkata, serbuan bermula pada pukul 11.00 malam turut disertai oleh empat orang anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Sibu (MPS).
Katanya, serbuan pertama di hadapan kedai di Jalan Bengkel menyaksikan enam individu termasuk pemilik premis diperiksa dan mereka didapati tidak mematuhi penjarakan fizikal.
” Serbuan kedua pula di Jalan Ramin pada pukul 11.15 malam mendapati lapan individu yang sedang makan turut tidak mengendahkan syarat penjarakan satu meter,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya, kesemua mereka yang berusia 19 hingga 59 tahun telah dinasihati oleh pemilik kedai namun semua masih ingkar.
Jelas Collin, kompaun dikeluarkan di bawah peraturan 17(1) , Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit 2021.
Kesemua individu diarah untuk menjelaskan bayaran kompaun di Pejabat Daerah Sibu dalam tempoh 14 hari sehingga 12 Februari 2022. -TVS