SERIAN, 29 Jan : Seekor burung hantu, dua ekor burung murai, 10 ekor Belukuk (Baning), seekor ular sawa, 35 ekor kura-kura dan empat ekor labi-labi merupakan antara hidupan liar yang dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Krusen Kranji Tebekang semalam.
Dalam serbuan berkenaan, seorang lelaki berusia 57 tahun turut ditahan kerana memiliki spesies hidupan liar tanpa permit.
Pegawai Pemerintah Batalion 10 Sibu , Superitenden Mohd. Hafiz Kadir berkata, serbuan dibuat hasil risikan sepasukan polis dari Batalion 10 PGA Sibu yang sedang menjalankan Operasi Awas.
“Kita mendapati lelaki itu yang merupakan pemilik rumah gagal menunjukkan sebarang permit sah untuk memiliki kesemua spesies hidupan liar berkenaan.
“Kesemua spesies hidupan liar berkenaan terlindung di bawah Seksyen 29 ,Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberiutahu, rampasan diserahkan kepada Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) Cawangan Kuching untuk siasatan lanjut – TVS