KUCHING, 29 Jan: Lewat malam tadi, rakyat negeri ini menerima berita duka pemergian bekas Yang Dipertua Negeri, Tun Pehin Sri Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.
Perkhabaran itu disahkan oleh Wan Ibrahim Omar iaitu menantu kepada Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin yang merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak Ketiga dan Keenam.
Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin mencipta sejarah sebagai tokoh pertama di Sarawak yang memegang jawatan Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali.
Mengimbas kembali detik berkenaan, kali pertama Allahyarham dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri ialah pada tanggal 2 April 1977 sehingga 1 April 1981 iaitu selama tiga tahun 345 hari.
Pada tahun 2000, Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin memangku jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak apabila Tun Datuk Patinggi Dr Ahmad Zaidi Adruce Muhammed Noor uzur.
Kira – kira setahun kemudian, iaitu pada 22 Februari 2001, Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin sekali lagi dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, kali ini lebih lama berkhidmat iaitu sehingga tanggal 28 Februari 2014 sekaligus mencipta sejarah sebagai tokoh pertama di Sarawak yang dilantik ke jawatan berkenaan sebanyak dua kali.
Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin dilahirkan di Kampung Nangka, Sibu, pada 27 Ogos 1921 dan merupakan anak tunggal kepada Abang Barieng bin Abang Anyut, seorang tokoh yang terkenal di Sibu.
Selepas pendudukan Jepun, Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin bekerja sebagai Inspektor Perbandaran sehingga 1947 di bawah pentadbiran British. Allahyarham kemudian terus berkhidmat dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kerja Raya.
Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin juga pernah aktif dalam politik Sarawak apabila terlibat dalam penubuhan Barisan Pemuda Sarawak (BPS) dan Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA).
Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin turut menjadi wakil masyarakat Melanau dalam Suruhanjaya Cobbold sebelum pembentukan Malaysia.
Pada 1963, Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin bertanding dan memenangi kerusi dalam pilihan raya negeri.
Pada 1968 Allahyarham meletak jawatan dan kembali ke perkhidmatan awam dan menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.
Ini menunjukkan bahawa sektor perkhidmatan awam sangat sebati dengan jiwa Allahyarham Tun dan rasa cinta yang menebal untuk berkhidmat kepada rakyat Sarawak.
Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin berkahwin dengan Allahyarhamah Toh Puan Dayang Umi Kalthum dan mempunyai sembilan orang anak.
Pada 1996, Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin berkahwin dengan Toh Puan Norkiah (meninggal dunia pada 14 April 2021).
Salam takziah daripada kami warga TVS. – TVS